Tazkirah / Kisah & Teladan
ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG
Home | Index
Pada suatu hari, seekor anjing  yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong untuk mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang didalam sebuah tong sampah.  Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari menuju ke rumahnya. Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang, ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai.  Anjing itu menyesal kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan sifat tamaknya.

MORAL & IKTIBAR

  • Sifat tamak adalah sifat mazmumah yang dicela Allah 
  • Orang yang telah dikuasai sifat tamak selalunya akan menghalalkan apa cara saja asalkan apa yang dikehendakinya itu boleh diperolehinya; tanpa mengambil kira halal atau haram.
  • Orang yang bersifat tamak mengumpulkan harta dan wang ringgit biasanya tidak akan berhenti dari melonggokkannya selagi dia tidak diikat dengan kain kapan di kaki dan kepalanya (mati).
  • Sifat zuhud (memada apa yang ada) adalah sifat terpuji yang perlu dibentuk dalam diri kita 
  • Orang tamak sentiasa dalam keadaan miskin walaupun sudah kaya-raya. Sebaliknya orang zuhud adalah pada hakikatnya kaya kerana mereka tidak memerlukan apa-apa lagi.
  • Manusia yang tamak jika diberikan segunung emas akan berusaha untuk mendapatkan gunungan emas yang lain. Mereka akan berhenti mencari kekayaan hanya apabila dimatikan. 
  • Amaran Nabi: Apabila mencecah umur 40-an tapi kejahatannya masih melebihi kebaikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk masuk ke neraka.

Created On  Jan 29, 2001
Drpd Al Zubir Rusinin, P/S 422, Kundasang 89307 Ranau Sabah Malaysia