Tazkirah / Kisah & Teladan
TERPERANGKAP DI DALAM GUA
Home | Index
Pada zaman dulu, 3 orang pemuda dalam satu perjalanan berehat di dalam sebuah gua untuk berteduh dari hujan lebat. Tiba-tiba pintu gua tertutup oleh satu batu yang besar. Mereka cuba menolak batu itu tetapi tidak berjaya. Mereka berusaha pelbagai cara untuk keluar tapi kesemuanya gagal.  Akhirnya tiada jalan lain kecuali bermohon dan mengadu kepada Allah. Mereka tahu hanya Allah yang dapat melepaskan mereka. Keputusan diambil supaya tiap-tiap orang mengadu atau bertawassul dengan amal kebajikan yang mereka buat. 

Pemuda pertama berdoa: "Ya Allah, saya pernah berbuat amal soleh terhadap kedua ibubapa  saya. Suatu hari saya balik dari kerja dan berasa tersangat lapar. Saya sangka ibu saya sudah masak nasi tapi rupanya belum kerana kehabisan beras. Saya terus keluar untuk beli beras. Apabila pulang,  saya lihat ibu saya tertidur. Saya tidak berani mengejutkannya  walaupun saya tersangat lapar sehinggalah dia tersedar sendiri. Ya  Allah, jika ini merupakan amal kebajikan yang ikhlas terhadap ibuku  dan mendapat keredhaanMu, tolonglah kami untuk keluar dari sini." Tiba-tiba pintu itu terbuka sedikit dengan kurnia Allah, namun mereka  masih belum boleh keluar. 

Giliran pemuda kedua berdoa: "Ya Allah, saya juga mempunyai amal soleh. Saya mempunyai gedung perusahaan dan mempunyai ramai pekerja. Setiap pekerja dibayar gaji tepat pada waktunya. Pada satu ketika seorang pekerja tidak datang  mengambil gaji bulanannya sehingga beberapa bulan. Wang gajinya saya gunakan untuk membeli barang-barang perniagaan sehingga saya  untung 10 kali ganda wang asalnya. Beberapa bulan kemudian,  pekerja itu datang kembali lalu saya serahkan kesemua hartanya  termasuk keuntungan yang saya niagakan. Ya Allah, sekiranya ini  merupakan amal yang mendapat keredhaanMu, tolonglah kami dalam  kesusahan ini!" Sebaik saja habis merayu, tiba-tiba pintu itu bergerak sedikit tetapi  masih belum boleh keluar. 

Akhirnya sampai giliran pemuda ketiga: "Ya Allah, aku sebenarnya tidak mempunyai suatu amalan yang  dianggap penting. Sepanjang ingatanku, hanya sekali aku berbuat baik  kerana malu kepada Engkau ya Allah. Aku ditugaskan  membahagi-bahagikan makanan kepada orang-orang miskin. Semasa  bekerja aku terlihat seorang gadis cantik yang juga meminta bahagiannya. Setelah semua orang pulang, aku pun memanggil gadis itu dan menyatakan niat jahatku kepadanya. Gadis itu menangis seraya berkata dia rela mati kelaparan daripada melakukan dosa perbuatan terkutuk itu. Aku menjadi serba salah dan datang penyesalan yang  tidak terhingga. Aku malu dan insaf atas kesalahanku. Ya Allah, sekiranya penyesalan dan taubat ini Kau terima, tolonglah kami dari kesusahan ini." Tiba-tiba pintu gua itu terbuka luas dan mereka pun keluar dengan selamat. 

MORAL & IKTIBAR

  • Allah memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar berdoa dengan penuh keikhlasan kepadaNya. 
  • Dalam kesempitan, kita dibolehkan bertawassul dengan amal kebajikan yang kita lakukan. 
  • Bertawassul juga merupakan salah satu ciri dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
  • Dalam melaksanakan sesuau pekerjaan eloklah bermuafakat  terlebih dahulu sebab muafakat itu membawa berkat 
  • Berbakti kepada ibubapa adalah satu amalan soleh
  • Berlaku jujur dalam perniagaan juga amalan soleh
  • Mengelak dari melakukan perzinaan adalah amalan soleh

Created On  Jan 29, 2001
Drpd Al Zubir Rusinin, P/S 422, Kundasang 89307 Ranau Sabah Malaysia