Tazkirah / Kisah & Teladan
KERA DENGAN TUKANG GUNTING
Home | Index
Melihat remaja kita yang suka meniru-niru budaya asing, teringat saya satu cerita yang pernah dikisahkan oleh seorang guru semasa saya kecil dulu. Ceritanya begini: 

Seekor kera berada di atas sepohon pokok. Dia ternampak seorang tukang gunting sedang menggunting rambut seorang budak di bawah pokok. Dia tertarik hati dan asyik melihat gelagat tukang gunting yang menggunakan gunting dan pisau cukur. Pekerjaan tukang gunting itu menarik perhatiannya sehinggalah selesai tukang gunting itu menggunting rambut budak itu. 

Setelah selesai, tukang gunting itu pun beredar dari situ untuk makan. Dia meninggalkan perkakasannya di bawah pokok itu. Sang Kera segera turun dari pokok untuk melihat gunting dan cukur yang digunakan oleh tukang gunting tadi. Tergerak di hatinya untuk meniru perbuatan tukang gunting. Dia pun mengambil gunting lalu menggunting bulu/rambut di badan dan kepalanya. Setelah itu dia mengambil pisau cukur pula. Cepat-cepat dia meraut bulu di badannya. Dalam kegopohannya pisau cukur itu memotong sebahagian hidungnya. Kera menjerit kesakitan. Darah bercucuran mengalir dari mukanya. Sang Kera mula menyesal atas perbuatannya meniru perbuatan tukang gunting itu.

MORAL DAN PENGAJARAN: 

  • Meniru perbuatan orang tanpa mengetahui baik buruknya boleh merosakkan diri sendiri
  • Jangan mudah terpengaruh dengan sesuatu budaya yang bercanggah dengan norma kehidupan kita
  • Mengambil hak orang lain tanpa memberitahunya terlebih dulu adalah satu kesalahan yang boleh menjadi sebab kepada kerosakan diri sendiri
  • Meniru budaya yang asing dalam kehidupan kita adalah bertentangan dengan naluri dan sunnatullah atau fitrah semulajadi. Bukanlah dinamakan kebijaksanaan mereka yang suka meniru-niru sesuatu dari orang lain

Created On  Jan 29, 2001
Drpd Al Zubir Rusinin, P/S 422, Kundasang 89307 Ranau Sabah Malaysia