Tazkirah / Kisah & Teladan
APA BEZANYA?
Home | Index
Pada suatu hari tidak berapa lama dahulu, berdiri seorang hamba Allah untuk memberi ceramahnya. Pada mulanya ceramahnya berbunyi biasa saja. Tapi sampai suatu ketika dia berkata, "Jika kita buka hati-hati orang kafir, kita akan lihat macam-macam keinginan mereka. Mereka mahu harta yang banyak, isteri yang cantik, kereta yang besar, rumah yang besar dan mewah....." Kemudian dia menyambung lagi,"Dan jika kita buka hati-hati umat Islam sekarang kita akan lihat benda yang sama!? Nak kereta besar, harta yang banyak, isteri yang cantik, rumah besar...." Pada ketika ini nada suaranya berubah.

Pada mulanya dia berceramah sambil duduk, tapi kini dia bangun dan meneruskan ceramahnya dengan nada yang sedih. Setitis air mata jelas kelihatan pada pipinya. Walaubagaimanapun dia dapat mengawal perasaan sedihnya dan meneruskan ceramahnya. Dia berkata lagi,"Apa bezanya?! Apa bezanya?! Apa bezanya kita dengan orang kafir itu?!" Masing-masing terdiam. Perasaan sebak terasa dalam dada. Ada yang terus menangis kerana tidak dapat perasaan sedih yang amat sangat. Memang benar apa yang dikatakannya itu. Kebesaran dunia telah berakar-umbi dalam hati kita. Ini tidak dapat dinafikan lagi.

Kemudian dia meneruskan lagi, "Lupakah kita tentang pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat dahulu? Para sahabat ada yang disiksa dengan teruk sekali apabila mereka memeluk Islam. Apakah kita ingat Islam itu tersebar dengan mudah tanpa pengorbanan?"

Kita kini masih boleh bergelak ketawa lagi sedangkan ramai umat yang mati tanpa iman. Siapa yang bertanggungjawab?! Kita! Umat Islamlah yang bertanggungjawab atas mereka. Kita mempunyai pesanan yang wajib disampaikan. Kitalah umat yang terbaik, kita menganjur kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.....

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah" (Surah Ali Imran, 110)


Created On  Jan 29, 2001
Drpd Al Zubir Rusinin, P/S 422, Kundasang 89307 Ranau Sabah Malaysia