Tazkirah / Kisah & Teladan
TAKUT MATI
Home | Index
Mengapa takut mati? Padahal semua nyawa pasti akan merasakan mati. Takut mati termasuk salah satu di antara  penyakit umat Islam dalam perjuangannya. Sebab takut mati, dalam perjuangan diliputi rasa kekhuatiran akan terkena risiko, khuatir terkena luka dan sebagainya. Akibatnya mahu berjuang asal tidak ada risiko yang menimpa, asal dirinya selamat, dan untuk menyelamatkan diri maka dalam perjuangan Islam boleh membalik-balikkan kenyataan. Yang hak dikatakan batil, yang batil dikatakan hak. 

Yang halal dikatakan haram, yang haram dikatakan halal. Kerana takut mati dan takut menanggung risiko, sebelum berjuang sudah diliputi rasa was-was seolah-olah kalah sebelum bertanding. Dengan demikian perjuangan Islam akan lumpuh, umat Islam akan mudah diperdaya oleh orang lain. 

Untuk mengembalikan citra Islam dan umat Islam tegak di muka bumi ini, Islam tetap di atas segala- galanya, Islam tidak boleh dikalahkan orang lain, maka penyakit 'cinta dunia dan takut mati' segera diubati. Siapa yang akan mahu mengubati penyakit itu kalau tidak dari umat Islam sendiri. Orang lain akan tertawa melihat umat Islam dirundung kelemahan, ditimpa kehinaan dan diporak-perandakan persatuannya.

Untuk mengubati penyakit 'cinta dunia dan takut mati' agar umat Islam tidak ditimpa kehinaan, maka kembalilah kepada konsep Islam itu sendiri. Iaitu menjalin hubungan yang baik sesama manusia. 

Sebagai firman Allah, surah Ali Imran ayat 112:
"Ditimpakan atas mereka kehinaan, di mana saja mereka berada, melainkan (mereka) yang menjalin hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia" (Surah Ali-Imran:112)

Dalam menjalin hubungan yang baik dengan Allah, Nabi Muhammad saw telah memberikan petunjuk dan bimbingan iaitu memusatkan beribadah kepadanya:
"Bahawa kamu beribadah kepada Allah seakan-akan kamu itu melihatnya. Dan jika kamu tidak melihatNya maka Allah melihat kamu."(Riwayat Muslim)

Dan untuk menjalin hubungan dengan seseorang manusia, maka berbuatlah yang bermanfaat untuk manusia yang lain. Sebagaimana petunjuk dari Nabi Muhammad saw.

"Sebaik-baik manusia itu ialah orang yang paling bermanfaat untuk manusia."


Created On  Jan 29, 2001
Drpd Al Zubir Rusinin, P/S 422, Kundasang 89307 Ranau Sabah Malaysia