Tazkirah / Kisah & Teladan
FIDYAH PUASA
Home | Index
FIDYAH PUASA

Soalan: Bilakah masa yang sepatutnya kita membayar fidyah? Adakah kita terpaksa menunggu sehingga bulan Ramadhan sebelum membayarnya? 

Jawapan: Diberikan keringan tidak berpuasa orang yang telah tua bangka baik lelaki mahupun wanita, orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dan orang-orang yang mempunyai halangan lain yang diizinkan syarak untuk tidak berpuasa. Sebagai tebusannya mereka diwajibkan memberi makan seorang miskin untuk setiap hari dengan segera dan tidak menunggu sehingga bulan Ramadhan berikutnya.  (Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054)

MEREKA YANG LAYAK MENERIMA FIDYAH

Soalan: Bagi seseorang yang ingin membayar fidyah, kepada siapakah mereka harus membayar. Bolehkah diserahkan kepada amil zakat untuk menguruskannya atau kita perlu mencari sendiri orang yang layak terima fidyah tersebut? 

Jawapan: Jika kita tidak mampu melaksanakan puasa lantaran keuzuran, sakit dan sebagainya yang menyebabkan dibebankan membayar fidyah, maka wajib bagi kita memberi makan sehari seorang fakir ataupun miskin. Usahakanlah mencari orang miskin yang ada disekitar kediaman ataupun di kampung anda dan inilah yang lebih baik. (Sila rujuk buku Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN054)

MENGGANTI PUASA MEREKA YANG MENINGGAL DUNIA

Soalan: Bapa saya sudah lama meninggal dunia. Semasa hayatnya dia jarang berpuasa. Kemusykilan saya, adakah wajib saya sebagai anaknya atau ibu saya, untuk menqadakan puasanya ataupun bagaimanakah caranya saya harus menyelesaikan masalah ini? Untuk pengetahuan tuan saya tidak tahu berapa harikah dia tidak berpuasa. Setahu saya terlalu banyak. 

Jawapan: Menurut mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi; puasa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh diganti oleh orang lain. Namun puasa mereka cukup diganti dengan membayar fidyah. Iaitu dengan memberikan makan fakir miskin seorang sehari puasa yang ditinggalkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Barangsiapa meninggal dan padanya ada puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan maka hendaklah diberi makan atas namanya sehari seorang miskin (fidyah)" (Hr. Tarmizi daripada Ibnu Umar)

Seandainya warisnya mengetahui bahawa orang tuanya atau bapanya ada berniat puasa nazar maka warisnya hendaklah menggantikannya dengan berpuasa sesuai dengan yang dinazarkan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Apabila sakit seorang lelaki dalam bulan Ramadhan kemudian ia meninggal dunia, padahal ia tidak berpuasa maka ia harus membayar fidyah (memberi makan orang miskin seorang sehari atas namanya). Tiada qadha atasnya. Dan jika puasa nazar hendaklah diqadhakan oleh wali atau warisnya". (HR Abu Daud daripada Ibnu Abbas)

 

Home | Index
Created On  Feb 1, 2001
Drpd Al Zubir Rusinin, P/S 422, Kundasang 89307 Ranau Sabah Malaysia