Pada
suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin
Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat.
Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai
itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang
diamanahkan tuannya tadi. Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli
harganya empat ratus dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang
yang sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi
tadi tanpa diminta mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak
dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang
membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi.
Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar
Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?"
Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham." "Tetapi harga sebenarnya cuma
dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan
wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar Yunus lagi. "Biarlah, ia
tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yang empat
ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah lima
ratus dirham." Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu
pergi. Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba
dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah
saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut
kepada Allah atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?"
Marah saudagar Yunus lagi. "Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya
dengan harga empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa
dia dipihak yang benar. Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang
kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan
terhadap diri kita sendiri." Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan
bagi peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan
peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki
yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak
ada penipuan dalam perniagaan.
Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap
harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku
harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut
aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali
imam Nasa'i)