Saidina
Bilal (berkulit hitam) adalah di antara 7 orang yang pertama menzahirkan
keIslaman secara terangan meskipun diancam oleh kafir musyrik. Apabila
mengetahui hambanya, Bilal telah memeluk Islam, tuannya telah menyeksa
Bilal dengan memakaikan baju besi dan kemudian dijemur di padang pasir
yang sangat panas. Ketika ditanya tentang pegangan agamanya, Bilal tetap
mengatakan 'Ahad! Ahad!' (Allah Yang Esa, Yang Esa). Bilal kemudian diseret
hingga ke lereng-lereng gunung tetapi Bilal tetap memperkatakan 'Ahad!
Ahad!'. Imannya tidak bergoncang sedikitpun. Melihatkan tidak apa perubahan
berlaku dalam diri Bilal, mereka kemudian mempertingkatkan seksaan dengan
meletakkan batu besar di atas badannya yang terjemur di tengah kepanasan
matahari. Namun tiada ucapan lain yang keluar dari mulut Bilal kecuali
'Ahad! Ahad!' Bilal rela mati daripada menukar pegangan agamanya
yang haq kepada yang bathil.
Apabila Saidina Abu Bakar diberitahu tentang seksa yang dialami oleh
Bilal, Abu Bakar terus berjumpa Umaiyah yang sedang menyeksa Bilal dan
kemudian meminta Bilal dibebaskan. Sebagai ganti Abu Bakar menyerahkan
seorang hamba hitam yang lebih kuat sebagai tebusan. Sebaik saja ditebus,
Saidina Abu Bakar pun membebaskan Bilal dari perhambaan.
MORAL & IKTIBAR
-
Iman yang kental dan pegangan aqidah yang kukuh tidak dapat digugat sekalipun
diseksa dengan pelbagai seksaan.
-
Kemanisan iman tidak ada tolok banding di dunia dan akhirat
-
Allah tidak melihat kecantikan fizikal seseorang tetapi yang paling utama
ialah kecantikan hati
-
Allah mempertingkatkan tahap atau darjah keimanan seseorang, dengan mengenakan
ujian dan cubaan.
-
Selagi tidak diuji dengan kesusahan, tahap keimanan belum dapat dipastikan
kebenarannya.
-
Bertambah kuat iman seseorang, bertambah hebat ujian yang Allah kenakan
ke atasnya
-
Ujian dan bala yang dikenakan ke atas seseorang bukan bererti Allah membencinya,
sebaliknya ia adalah satu rahmat untuk meninggikan darjatnya di sisi Allah.
-
Bala sebenarnya bukan 'bala' tetapi adalah satu nikmat yang patut disyukuri
-
Kekayaan dan kesenangan hidup belum tentu menjadi satu nikmat, bahkan ia
satu cubaan/bala untuk menguji sama ada kita mensyukuri Allah atau sebaliknya
|