Seorang
ulama Fiqh, Ibrahim Ar-Raqi mengunjungi seorang ulama Sufi, Abul Khair.
Ketika itu azan Maghrib sedang berkumandang. Abul Khair terus mengimami
jemaah termasuk Ibrahim. Semasa mendengar bacaan Fatehah Abul Khair yang
mendatar dan tidak begitu sempurna, terdetik di hati Ibrahim tentang kekurangan
pada Abul Khair dan sia-sia saja datang ke situ. Selepas memberi salam,
Ibrahim terasa hendak buang air lalu keluar dari rumah Abul Khair. Tiba-tiba
dia ternampak seekor singa ganas menuju ke arahnya. Dia cepat-cepat berlari
dan masuk semula ke rumah memberitahu Abul Khair tentang peristiwa tersebut.
Abul Khair segera turun ke halaman rumahnya dan berteriak dengan kuat
kepada singa yang masih ada di situ, "Bukankah telah aku katakan jangan
ganggu tetamu yang menziarahiku." Singa itu segera berlalu pergi seolah-olah
faham akan apa yang didengarinya. Ketika berada di rumah, Abul Khair berkata
kepada Ibrahim, "Kamu asyik membetulkan amalan lahir sehingga kamu takut
akan seekor singa. Kami pula asyik membetulkan amalan batin, maka singa
yang ganas takut kepada kami."
MORAL & IKTIBAR
-
Ziarah-menziarahi adalah dituntut oleh agama Islam.
-
Keakraban hubungan bisa dibina melalui ziarah
-
Allah tidak melihat kecantikan zahir tetapi mengambil kira kecantikan batin
-
Amalan batin lebih berkesan dan bermanfaat daripada amalan zahir
-
Amalan zahir masih belum dapat jaminan Allah selagi tidak diperbaiki amalan
batinnya
-
Ulama Sufi diberikan keistimewaan memandang sesuatu dengan mata hati (kasyaf)
dan dapat melihat alam bathin yang Ulama Fiqh (zahir) tidak dapat mengalaminya
-
Taqwa adalah amalan hati. Mereka yang taqwa disegani oleh manusia dan ditakuti
oleh haiwan serta makhluk lain
-
Nasihat yang ikhlas dan jujur hendaklah diterima dengan rasa ikhlas dan
jujur juga.
|