![]() |
Saban
masa dan ketika kita menikmati kurniaan ALLAH. Setiap detik dan saat
sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan
dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku saban masa dan menjadi sesuatu
yang lumrah, lantas kita tidak perasan dan menghiraukannya. Kita seolah-olah
terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan ALLAH kepada kita. Begitulah
perangai kita yang tak ubah seperti kacang lupakan kulit.
Sesuap nasi yang kita makan, setiap teguk air yang kita minum, setiap
zarah udara yang kita sedut bahkan setiap pandangan yang kita lihat adalah
kurniaan Allah. Tanpa kurniaan ini, kita tidak dapat mengunyah makanan
atau meneguk minuman atau menyedut udara di sekeliling kita. Selagi kita
hidup di mukabumi ini kita tidak sunyi dari menerima kurniaan ini. Begitulah
penyayangnya ALLAH yang bersifat dengan Ar-RAHMAN. ALLAH menganugerahkan
kurniaanNya kepada semua makhluk, sama ada yang taat kepadaNya atau sebaliknya.
Maka mengapa kita mesti mendustakan kurniaan ini? ALLAH masih sayang kepada
hamba-hambaNya meskipun terlalu ramai yang tidak bersyukur di atas nikmat-nikmat
itu. Sebanyak 31 kali di dalam Al-Quran, Allah mengulangi ayat di bawah
sebagai amaran dan ingatan kepada kita supaya menilai semula sejauh mana
kesyukuran kita terhadap nikmatNya.
(Yang mana satu di antara nikmat Tuhan yang kamu dustakan?) Sebagai makhluk Allah, kita sewajibnya berasa prihatin atas kurniaan
ini lalu mensyukuri atas segala nikmat tersebut. Rakaman kesyukuran bukanlah
setakat mengucapkan 'Alhamdulillah'. Ianya mesti dibuktikan dengan tindakan
berdasarkan prinsip 'amal makruf, nahi munkar' atau buat yang disuruh dan
tinggalkan yang dilarang. Ini dilakukan setiap masa secara konstan dan
terus-menerus. Malangnya terdapat ramai manusia yang lupa daratan dan lupa
akan segala kurniaan ALLAH. Ramai yang tidak mendirikan solat dan segala
amalan yang disuruh. Sebaliknya ramai pula yang engkar dan menentang suruhanNya
dengan melakukan pelbagai jenis kemaksiatan. Allah Maha Mengetahui bahawa
ramai di antara hambanya yang tidak bersyukur, seperti dalam firmanNya:
(Sangat sedikit daripada hamba-hambaKu yang bersyukur) Kesimpulannya, sebagai menunjukkan rasa berterima kasih kita kepada ALLAH, kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada ALLAH dengan segala bentuk amalan ibadat di samping kita meninggalkan kerja-kerja maksiat. Semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hambaNya yang bersyukur. Wallahua'lam. |
|