Ajal
maut di tangan Allah. Tak kira usia kita muda atau tua dan kita tetap akan
dijemput-Nya. Tapi tak tahu bila. Ingatlah bahawa mati itu terlalu hampir
kepada kita. Walaupun kita berada jauh di perantauan, berada di tempat
yang laungan azan tidak kedengaran untuk mengingatkan kita tentang kebesaran-Nya,
di kelilingi dengan manusia yang sering memandang ringan akan perintah
Allah dan hanyut dengan hanya kesukaan sahaja di atas dunia ini. Oleh itu
marilah kita ingat-mengingati tentang datangnya hari di mana hanya amal
dan kiriman doa saja yang akan mengiringi kita untuk menemui-Nya. Baginda
Rasulullah saw pernah bersabda: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu
maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil
dalam badan seseorang dan kemudian mereka menarik ruhnya melalui kedua-dua
telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan
malaikat yang lain yang masuk dan menarik ruh dari lutut hingga sampai
ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Kemudian datang pula satu kumpulan
malaikat yang lain, masuk dan menarik ruhnya dari perut hingga sampai ke
dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan
malaikat masuk dan menarik ruh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong
dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Sambung Rasulullah saw lagi: "Kalau orang yang bernazak itu orang yang
beriman, maka malaikat Jibril a.s. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah
kanan sehingga orang yang bernazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga.
Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada
orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya
pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibril a.s.". "Kalau
orang yang bernazak itu orang munafik, maka Jibril a.s. akan menebarkan
sayapnya di sebelah kiri. Maka orang yang bernazak itu dapat melihat kedudukannya
di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya.
Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi
tempat tinggalnya."
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah SWT menghendaki seorang mukmin
itu dicabut nyawanya, maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut
hendak mencabut ruh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir
dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut
ruh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya
berzikir kepada Allah SWT." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan
itu, maka dia pun kembali kepada Allah SWT dan menjelaskan apa yang diucapkan
oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai
malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat
maut mendapat perintah daripada Allah SWT maka malaikat maut pun cuba mencabut
ruh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan
orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan
ilmu. Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut ruh orang
mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini
mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut ruh orang mukmin dari arah
tangan, maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat
maut juga gagal melakukannya sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu
dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan
solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis
ilmu." Apabila gagal malaikat maut mencabut ruh orang mukmin dari arah
kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat
maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu
dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan
zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut ruh orang mukmin dari
arah mata, tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka mata berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa
mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah SWT. Kemudian Allah
SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat-Ku, tulis AsmaKu di
telapak tanganmu dan tunjukkan kepada ruh orang yang beriman itu." Sebaik
saja mendapat perintah Allah SWT, maka malaikat maut menghampiri ruh orang
itu dan menunjukkan Asma Allah SWT. Sebaik saja melihat Asma Allah dan
cintanya kepada Allah SWT, maka keluarlah ruh tersebut dari arah mulut
orang mukmin dengan tenang.